SPRM Sangkal Dakwaan Pengerusi DAP Sarawak


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dengan keras kenyataan Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Yang Berhormat Chong Chieng Jen, yang mendakwa SPRM tidak menyiasat banyak kes meskipun ada kes dan aduan dibuat. Selain itu, beliau juga mendakwa SPRM ada membuat kenyataan yang mendakwa SPRM telah mencapai sasaran jumlah kes disiasat di Sarawak. SPRM tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

SPRM memandang serius kenyataan Yang Berhormat Chong yang mendakwa gejala rasuah berleluasa di Sarawak dan Pejabat SPRM Sarawak tidak mengambil tindakan.

SPRM, sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat setiap kes yang dibawa ke pengetahuan SPRM. Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) SPRM akan menilai setiap aduan dan maklumat yang diterima, dan akan menyiasat jika ada unsur rasuah. Apabila siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada boleh dibawa ke mahkamah atau sebaliknya. Malah status setiap kes juga akan dibawa ke perhatian Panel Penilaian Operasi (PPO), yang merupakan salah satu badan bebas yang sebagai mekanisme ‘check and balance’.  Bagi kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah, PPO mempunyai kuasa untuk mengarahkan siasatan lanjut dibuat jika perlu.

Untuk makluman, sesetengah aduan atau maklumat yang diterima tidak cukup bukti. Keadaan itu menyukarkan SPRM menjalankan siasatan dengan berkesan dan sehingga ada pihak mendakwa SPRM tidak menjalankan siasatan. Sehubungan itu, SPRM mengalu-alukan aduan atau penyaluran maklumat yang kukuh dengan bukti, yang boleh membantu peranan SPRM.

SPRM juga ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan tanpa mengira ideologi politik dan status seseorang.

Di sini, SPRM juga ingin memetik Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2012 yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada 6 November 2013. Ulasan itu antara lain, menyebut SPRM melaksanakan tugas siasatannya berasaskan prinsip kebebasan, ketelusan dan profesionalismenya tanpa mengikut telunjuk atau arahan mana-mana pihak. Malah menurut LPPR, kelewatan pendakwaan sesuatu kes yang berprofil tinggi adalah disebabkan oleh kerumitan serta kesukaran untuk mendapatkan keterangan yang boleh menjamin kejayaan kes-kes rasuah tersebut.
SPRM berharap mana-mana pihak tidak membuat kenyataan atau dakwaan tidak berasas terhadap SPRM. Sementara SPRM memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak, mana-mana pihak yang memerlukan penjelasan boleh menghubungi SPRM bila-bila masa.
SPRM juga berharapYang Berhormat Chong boleh mengemukakan butiran terperinci kepada SPRM jika ada kes atau aduan yang beliau mendakwa tidak disiasat oleh Pejabat SPRM Sarawak. Malah, Yang Berhormat Chong, menerusi wakil DAP yang menganggotai JKMR, boleh membawa isu yang beliau bangkitkan pada sesi pertemuan Pengurusan SPRM dan JKMR yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
10 November 2013

Comments