Hari asyura


Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.
Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.
Masyarakat Islam turut percaya akan berlakunya kejadian besar ketika 10 Muharram:
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Adam a.s. dicipta.
Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh kaum Syiah Kufah, dan mereka kemudiannya memfitnah Khalifah Yazid ra dari Bani Umaiyah membunuh Saiyiduna Hussain ra. Fitnah ini digembar gemburkan oleh kaum Syiah, dan mereka mengelirukan umat manusia dengan menyambut hari Asyura dengan 'pesta menyakiti diri' konon sebagai tanda kesal diatas kewafatan Saiyiduna Hussain ra.
Beberapa hadis tentang kafiat puasa Hari Asyura:

Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:"Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang”. Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura (10 Muharram). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu. (Riwayat Muslim) 

Ibn Abbas (r.a) menceritakan; "Apabila Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka (orang Yahudi) menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik kerana pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan bangsa Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa". Lalu baginda (Nabi Muhammad) bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." Baginda (Nabi Muhammad) pun berpuasa dan menyuruh orang ramai t berpuasa." (HR Bukhari) 

Aisyah (r.a) berkata; "Rasulullah S.A.W mengarahkan supaya berpuasa pada Hari Asyura. Apabila puasa bulan Ramadan difardhukan (diwajibkan), siapa yang hendak berpuasa (pada Hari Asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)." (HR Bukhari dan Muslim)

Comments