50 anggota JPAM kena rasuk
Port Dickson: Persembahan kuda kepang dan ulik mayang, dipercayai antara punca hampir 50 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengalami histeria di kawasan perkhemahan dekat Jalan Pantai di sini, malam kelmarin.
Kejadian bermula jam 10 malam ketika dua anggota wanita daripada satu kontinjen sedang mengadakan persembahan sempena Malam Kebudayaan di Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, tiba-tiba menjerit sebelum pengsan, diikuti beberapa lagi anggota lain menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan yang juga sekretariat program, Mejar Lokman Hakim Abdul Rahman, berkata sebaik kejadian itu, pihaknya segera mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam bagi memulihkan mereka yang diserang histeria.
“Kehadiran lima pengamal perubatan Islam berhasil memulihkan keadaan yang terkawal jam 12.30 tengah malam.
Sebahagian mangsa dipulihkan dalam khemah, selebihnya dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, malam kelmarin.
Seramai 1,300 pegawai dan anggota membabitkan 14 kontinjen seluruh negara menyertai himpunan itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Tarian ada unsur seru
Pengamal perubatan dari Pusat Rawatan Islam al-Hadj, Muhamad Nur Hafiz Azmi, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada tarian kuda kepang dan ulik mayang yang dipersembahkan kerana mempunyai unsur menyeru makhluk halus.
Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling, berkata mereka yang diserang histeria dipercayai terlalu teruja membuat persembahan, selain penat akibat cuaca panas kerana lokasi yang terlalu hampir dengan laut.
Mangsa histeria yang juga anggota JPAM dari Perlis, Nazar Mohd Amin, 22, mendakwa ketika sedang menari ulik mayang, dia menyedari bayang-bayang di belakangnya dan sebaik menoleh, dia ternampak beberapa kanak-kanak lelaki berpakaian berwarna-warni sedang menari bersama mereka.
“Saya tetap teruskan persembahan, walaupun dalam keadaan takut, namun sempat juga berzikir sebelum pengsan.
Apabila tersedar satu jam kemudian, saya sudah pun berada di dalam khemah dan dikelilingi rakan lain,” katanya.
Comments
Post a Comment