ISLAM MEMBENTUK MINDA KRITIS
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jika seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau peralatan, dia terlebih dahulu hendaklah ada pengetahuan atau ilmu mengenainya. Jika tidak nanti, niatnya yang baik untuk membaiki itu akan menatijah kerosakan semata, bukan memulihkan. Ini yang disebut sebagai tikus membaiki labu, atau tukang besi membaiki komputer. Tanpa ilmu, bukan bertambah baik tetapi bertambah rosak. Islam juga demikian. Niat yang baik semata untuk mempertahan atau menyampaikan ajaran yang agung ini tidak memadai jika yang melaksanakan tugasan itu tidak cukup pengetahuan dalam perkara yang disampaikan tersebut.
Saya tidak menyatakan seseorang yang hendak berdakwah menyampai mesej Islam mesti menjadi sarjana besar terlebih dahulu. Tidak! Sama sekali tidak. Tetapi, dia hendaklah faham dengan baik bab atau perkara yang disampaikan itu. Umpamanya, jika dia bercakap mengenai cara sujud dalam solat, maka dia jelas tentang hadis-hadis mengenai perkara tersebut. Jika dia bercakap pendirian Islam terhadap penganut agama lain, dia juga hendaklah jelas dan faham dalam perkara tersebut. Tidak boleh hanya berpijak kepada maklumat yang dikutip tanpa kepastian, atau tidak boleh pulak bercakap hanya atas sesuatu sentimen semata. Firman Allah:
(maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: ayat 108).
MIMPI BUKAN HUJAH AGAMA
Saya amat dukacita apabila ter’tonton’ satu siaran televisyen di bawah nama ‘Sirah’ di mana seorang ‘ustazah’ telah menceritakan perihal kelahiran wanita terkenal Rabi‘ah al-‘Adawiyah. Kononnya, semasa kelahirannya, keluarga begitu miskin dan bapa malu hendak meminta bantu jiran tertangga. Pada malamnya, bapanya bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w yang menyuruh beliau meminta wang 400 dirham dari Gabenor Basrah. Kononnya, Rasulullah s.a.w suruh beliau menyatakan kepada gabenor berkenaan: “Wahai Gabenor! Engkau biasanya berselawat pada malam Jumaat sebanyak 400 kali, namun pada hari Jumaat yang lepas engkau telah menguranginya, maka engkau pun didenda dengan membayar 400 dirham kepada bapa Rabi‘ah”.
Cerita yang seperti ini, mungkin dikutip oleh ‘ustazah’ berkenaan daripada mana-mana sumber yang tidak boleh dipegang. Ia mencemarkan Islam dengan menggambarkan seakan Nabi s.a.w itu ‘kaki pau’ yang akan memeras atau mengambil kesempatan atas kelemahan seseorang yang hakikatnya bukan kesalahan pun. Kemudian, kisah ini cuba menetapkan khasiat berselawat 400 kali pada malam Jumaat, padahal tiada satu hadis pun yang menetapkan bilangan tersebut. Lebih daripada itu semua, mimpi bukanlah hujah dalam Islam sehingga boleh diperas harta orang lain beralasankan mimpi. Apakata nanti, jika ada orang yang mengugut kita menyuruh kita memberikan wang kepadanya atas alasan dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan baginda memerintahkan kita memberikan wang kepadanya.
Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (puak bid‘ah) adalah puak yang mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata:
“Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Dalam kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi s.a.w dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini.. dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan”.(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”.( Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah al-Risalah).
CERITA KARTUN BUAH EPAL
Demikian juga cerita-cerita yang bersifat ke’kartun’an seperti kononnya ada seorang wali Allah yang memakan epal yang hanyut dalam sungai. Kemudian dia mencari tuan punya epal tersebut untuk meminta halal daripadanya, tetapi tuan kebun tersebut mensyaratkan hendaklah berkahwin dengan anak perempuannya. Dia memberitahu anaknya itu bisu, pekak, buta dan berbagai kecacatan yang lain. Demi mendapat ‘sijil halal’ epal yang dimakannya itu terpaksalah si wali tersebut berkahwin dengan anak empunya kebun epal tersebut. Konon akhirnya didapati anaknya itu sempurna dan cantik.
Cerita yang seperti ini mencemarkan dataran Islam yang bersih. Perkahwinan dalam Islam boleh dipaksa atas nama menghalalkan sebiji epal. Epal yang hanyut dan terdedah kepada rosak boleh dimakan dari dibazirkan. Jika pun ada tuntutan, boleh dibayar dengan harga sebiji epal, bukan dipaksa kahwin. Bayangkan jika seserang memandu kereta lalu terlanggar kereta orang lain dan tuannya tidak mahu memaafkan melainkan dia mesti berkahwin dengan anak tuan kereta tersebut yang betul-betul ‘tidak menawan’. Apakah itu jalan mendapatkan ‘kehalalan’ atas sesuatu kesilapan yang tidak berkaitan?. Menghidangkan cerita-cerita yang seperti ini untuk orang ramai –walaupun dengan niat yang baik- hanya membuatkan Islam disalahtafsirkan sahaja.
PEDANG KHUTBAH?
Begitulah juga apabila ada pandangan seketika dulu agar khatib yang berkhutbah memegang pedang sebagai lambang kekuatan. Tindakan yang seperti itu boleh menyebabkan Islam disalahtafsirkan terutama di zaman kita ini yang mana Islam dilebelkan oleh media khurafat Barat sebagai agama keganasan.
Saya tertarik dengan kata-kata al-Hafiz al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad, 1/439, Beirut: Muassasah al-Risalah).
BERHUJAH DENGAN MATANG
Atas dasar sebagai agama hujah dan fakta yang tegak membela kebaikan manusia sejagat kita mengizin semua pihak termasuk agama lain berhujah secara harmoni dan baik. Islam bukan macam sesetengah pihak yang jika ada orang berbeza pendapat dengan ustaz-ustaz mereka terus sahaja dilebelkan sebagai ‘wahhabi’ ataupun liberalist ataupun seumpamanya. Islam agama yang sudi mendengar hujah dan alasan. Firman Allah:
(maksudnya) “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami berserah diri.” (al-Ankabut: ayat 46).
Firman Allah juga:
(maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Comments
Post a Comment