Skip to main content

Ubati rasuah guna pil berkesan


RASUAH di Malaysia dilihat semakin menjadi-jadi. Persepsi ini timbul atas banyak sebab.
 
Pertama, mungkin sejak laporan kajian yang dibuat Rahimah Abdul Aziz mengenai persepsi rasuah masyarakat di Malaysia untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tahun 2002 yang mengatakan bahawa dalam kalangan para pelajar pusat pengajian tinggi, 30.5 peratus beranggapan bahawa sekiranya mereka diberi kuasa dan kedudukan, mereka juga akan menjadi manusia yang korup. Penemuan daripada kajian ini telah menyedarkan pihak kerajaan bahawa satu tindakan drastik perlu diambil dan Perdana Menteri ketika itu telah mengarahkan satu strategi untuk magatasi masalah ini dirangka dengan segera.

Datuk Prof. Dr. Abdul Rahman Embong dari UKM dan rakan-rakan telah diberi tanggungjawab untuk merangka apa yang sekarang dikenali sebagai Pelan Integriti Nasional (PIN). Sejak pelancaran PIN dan penubuhan Institut Integriti Malaysia dalam tahun 2004, usaha memerangi rasuah dan membudayakan integriti meningkat dan kesedaran mengenai bahaya rasuah juga turut meningkat.
 
Ini dapat dilihat dengan pertambahan jumlah kes-kes rasuah yang disabitkan di mahkamah.

Sebab kedua, lanjutan daripada perkembangan terkini negara ketika itu dengan agenda integriti, berita tentang kes-kes rasuah dan pemimpin yang hidup dengan rasuah disiarkan di dada-dada akhbar dengan meluas. Walaupun mungkin 30 tahun dahulu rasuah sudah bermaharajalela tetapi kesedaran mungkin hanya timbul dalam sepuluh tahun yang terakhir ini.

Namun demikian, perkembangan ini juga telah mengakibatkan persepsi negatif tentang rasuah di Malaysia semakin meningkat.

Ini dapat dilihat melalui alat untuk mengukur persepsi rasuah yang dibina badan pemantau rasuah di Barat seperti Corruption Perception Index di mana antara tahun 2002-2011, skor dan kedudukan Malaysia berada pada purata 5.0 lima tahun pertama tetapi mula menurun sejak tahun 2009 daripada keseluruhan 10 markah terbaik.

Dengan latar belakang ini, kita dapat memahami bagaimana ia telah mengakibatkan rakyat terbanyak bersikap skeptikal tentang usaha-usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Sikap skeptis ini berterusan kerana mereka merasakan kes yang dihadapkan ke mahkamah kebanyakannya merupakan kes ‘ikan bilis’ manakala kes ‘ikan jerung’ memang kurang sekali mendapat tindakan tegas. Walau bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, usaha untuk membanteras rasuah di Malaysia telah bermula sejak sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi. Pelbagai cara dan usaha telah dilaksanakan oleh semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing untuk mencapai hasrat murni ini.

Dalam strategi melaksanakan pelbagai usaha ini, beberapa kajian telah dilaksanakan agar dapat membina kefahaman yang tepat mengenai masalah rasuah di Malaysia. Hasil tulisan Allahyarham Prof. Syed Hussein Alatas dalam buku beliau The Sociology of Corruption  yang diterbitkan dalam tahun 1968 telah menerangkan kepada kita secara mendalam sebab-sebab berlakunya rasuah.

Dalam kajian terkini terbitan Ideas tahun ini, mereka mengkaji mengenai pelbagai inisiatif yang telah di ambil untuk memerangi rasuah. Terdapat satu bab khas yang melakar sejarah usaha memerangi rasuah dan kajian-kajian yang telah dilakukan untuk menyokong usaha-usaha ini sejak sebelum merdeka lagi. Kajian itu juga mendapati kebanyakan penyelidikan peringkat awal ini lebih banyak bersumberkan kepada kajian-kajian sarjana Barat maka hasil penemuan kepada permasalahan lebih tertumpu kepada sebab-sebab dan masalah yang berbentuk universal. Kita tidak menafikan pendekatan sebegini memang penting dan perlu diteruskan. Namun adalah dirasakan kita juga memerlukan kefahaman berdasarkan budaya, adat resam dan tingkah laku rakyat setempat pelbagai etnik dan agama sebagai faktor penentu ataupun pendorong kepada masalah yang rumit ini.

Terdapat juga kajian jangka pendek bagi mendapatkan maklum balas ke atas usaha-usaha pencegahan rasuah yang telah dijalankan oleh SPRM. Hasil kajian ini ialah  bagi merancang  program-program pencegahan rasuah agar ianya  benar-benar memberikan impak yang besar dan lebih fokus kepada sesuatu kumpulan sasaran. Kajian-kajian secara ad-hoc dan lebih fokus berbentuk pengurusan persepsi ini perlu dilakukan dengan kefahaman mengenai  masalah pokok yang lebih besar dan apa yang mendasari perkara pokok tersebut. Ini perlu supaya kita tidak  mengubati penyakit rasuah dengan ubat yang salah.

Mengubati penyakit rasuah dengan ubat yang salah atau kurang tepat boleh terus terjadi sekiranya naratif masalah rasuah di negara kita diceritakan dengan semata-mata menggunakan skrip berdasarkan pengalaman Barat. Ini bermaksud walaupun kita tahu sebab berlakunya rasuah tetapi oleh kerana analisis kita bersumberkan kepada universal determinants maka kajian yang  kita buat mungkin akan tersasar jauh daripada matlamat yang ingin dicapai.

Usaha kerajaan untuk memerangi rasuah perlukan sokongan dan komitmen semua pihak.

Sebab itu semua pihak harus memainkan peranan masing-masing agar kita benar-benar faham dengan mendalam dan diberi penelitian agar satu kerangka konsep berteraskan faktor-faktor tempatan dapat dibina sebagai satu alat untuk mengkaji rasuah di Malaysia.


Comments