Contohi hijrah Nabi SAW
REMAJA Islam hari ini seharusnya memiliki sifat-sifat terpuji yang selaras dengan tuntutan agama Islam. Mereka seharusnya melengkapkan diri dengan akhlak dan budi bahasa cemerlang.
Tidak ada sesuatu lebih berat dalam timbangan (hari kiamat) selain daripada akhlak yang baik.
Dalam kehidupan, konsep hijrah mestilah difahami dengan betul dan jelas bagi menjadikan seseorang Islam dapat memanfaatkan apa yang tersurat dan tersirat. Hijrah dapat difahami sebagai perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.
Tahun Hijrah, tahun Islam yang bermula dari tarikh perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622 Masihi). Hijrah dalam konsep lebih luas adalah berpindah untuk mencari kehidupan baharu yang lebih baik, maju dan sempurna.
Konsep hijrah Nabi SAW ini mestilah dimanfaatkan dalam kehidupan ummah. Pendidikan Islam sangat mementingkan diri menuju ke arah kebaikan, terutama berkaitan akhlak.
Dalam diri, apa paling penting adalah hati atau jiwa yang baik. Hati yang baik akan memantulkan perbuatan dan akhlak yang baik.
Nabi SAW bersabda: “Masih tetap ada dari segolongan umatku yang menegakkan perintah ALLAH. Tidak menghambat dan mengecewakan mereka orang-orang yang menentangnya sampai tiba keputusan ALLAH. Mereka masih tetap teguh (mantap) baik dalam sikap mahupun pendiriannya.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim).
Sikap dan pendirian itu adalah pembentukan akhlak dan budi pekerti baik yang mestilah dilakukan di peringkat awal iaitu bermula di rumah oleh ibu bapa dan kemudiannya diperkukuhkan di sekolah oleh guru-guru.
Pendidikan akhlak dan budi pekerti mestilah dilakukan secara berterusan hingga dewasa melalui percakapan dan perbuatan atau tingkah laku.
Inilah hijrah diri yang perlu dilakukan setiap umat.
Tiada teladan yang lebih bermakna melainkan bimbingan yang dipraktikkan oleh Baginda SAW dalam segala tindakan dan keperibadian. Hanya generasi cemerlang pandai menghargai perjuangan gemilang yang Baginda SAW ajarkan daripada wahyu Ilahi dalam realiti kehidupan yang penuh godaan dan cabaran.
Kekuatan keimanan tertanam teguh dalam sanubari umat, terukir indah dalam memori merupakan sumbangan daripada insan teladan sepanjang zaman. Hijrah diri kepada akal budi yang baik iaitu antaranya tidak sombong dan bongkak mestilah dilakukan setiap hari dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku kesayangan ALLAH (dan tidak bongkak). Aku membawa panji “Pujian” pada hari kiamat, dibawanya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak congkak). Aku yang pertama memberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak congkak).
Aku yang pertama yang menggerakkan pintu syurga dan ALLAH membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama orang-orang beriman yang fakir (yang tidak congkak).
Dan Akulah paling mulia dari kalangan terdahulu dan terkebelakang di sisi ALLAH (dan tidak congkak). (Riwayat At Tirmizi).
Berkaitan dengan akhlak Nabi SAW, ketika ditanya Aisyah ra., menjawab: “ Akhlaknya adalah al-Quran.” (Riwayat Abu Daud dan Muslim).
Begitulah tingginya dan mulianya akhlak Nabi SAW yang tidak bongkak atau tidak sombong dalam setiap gerak-geri dan perbuatan sepatutnya menjadi ikutan kita semua, terutama kalangan remaja masa kini. Berhijrahlah ke arah kebaikan akhlak dan juga tingkah laku yang sempurna.
Lantaran itu, tidak ada kebaikan yang lebih baik daripada akhlak yang mulia, sifat yang baik dan bersopan santun serta tidak sombong. Manusia terbaik adalah yang mempunyai sifat-sifat terpuji.
Sementara manusia yang paling buruk adalah mereka yang bersifat keji. Terapkan dan tanamkan nilai baik dalam diri, dan segala aspek sifat positif yang sepatutnya dicintai menjadikan seseorang itu berhijrah daripada sifat buruk kepada lebih baik ke arah kesempurnaan.
Comments
Post a Comment